Hinduisme sebagai cara hidup Hinduisme

Matlamat Kehidupan

Agama Hindu mengenalpasti empat matlamat kehidupan manusia iaitu:

  • Kama - memuaskan keinginan untuk keseronokan duniawi
  • Artha - mengumpul harta benda
  • Dharma - amalan agama
  • Moksha - mencapai kebebasan melalui kesedaran-Tuhan

Antara empat matlamat kehidupan ini, kama merupakan matlamat paling rendah kerana ianya wujud untuk manusia dan juga binatang. Artha adalah lebih baik daripada kama kerana ianya hanya wujud dalam kalangan manusia. Matlamat ketiga, iaitu Dharma ialah sebenarnya latihan dalam pengorbanan diri. Kama dan artha berasaskan kepada sifat ketamakan dan mementingkan diri sendiri. Dharma pula tidak mementingkan diri sendiri. Maka, Dharma lebih mulia daripada kama dan artha. Kehidupan seorang Hindu merangkumi pelaksanaan suatu siri tugasan agama atau Dharma yang ditetapkan oleh kitab-kitab suci. Malah, seorang Hindu juga perlu mengikuti Dharma untuk mencari nikmat duniawi dan kekayaan.

Moksha, yang bermaksud 'kebebasan' boleh dicapai hanya dengan kesedaran-Tuhan. Hinduisme percaya bahawa Tuhan merangkumi segala-galanya dan bahawa ketuhanan wujud dalam semua manusia. Ketuhanan wujud dalam semua orang, tetapi manifestasinya tidak sama. Matlamat amalan rohani ialah untuk menyerlahkan ketuhanan ini dalam kehidupan seseorang. Apabila ketuhanan ini terserlah dengan sepenuhnya dalam seseorang, maka orang itu dikatakan telah mencapai kesedaran-Tuhan dan dia juga dikatakan telah mencapai Moksha.

Ketuhanan ialah sifat sebenar diri manusia. Ia menjadi intipati atau akar asas kewujudan manusia. Seseorang boleh meninggalkan segala-galanya, tetapi bukan sesuatu yang menjadi asasnya sendiri. Ketuhanan ini akan terserlah pada suatu masa. Maka, semua orang akan mencapai Moksha ada suatu masa. Orang yang telah maju dalam kehidupan rohani mungkin akan mencapai Moksha dalam kehidupan ini atau semasa kematiannya. Orang lain pula mungkin memerlukan beberapa kelahiran untuk mencapai kebebasan. Dengan usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh manusia boleh mencapai moksha dalam masa yang terdekat. Namun, tidak ada keraguan bahawa semua orang, sama ada mereka sedar atau tidak sedar, sedang menuju ke arah Moksha.

Menurut agama Hindu, tiga matlamat hidup iaitu kama artha dan Dharma hanya dapat memberikan kepuasan yang sementara. Namun,disebabkan manusia sentiasa mendahagkan sesuatu yang abadi, kama, artha dan Dharma tidak dapat memenuhi keinginan ini. Salah satu aspek utama Tuhan dalam agama Hindu ialah Ananda atau Nikmat Abadi. Semua usaha manusia untuk mendapatkan kama dan artha sebenarnya adalah satu usaha untuk mencapai Tuhan atau Nikmat Abadi. Selepas gagal memuaskan dirinya dengan nikmat duniawi, akhirnya, manusia akan sedar bahawa hanya Nikmat Abadi boleh memuaskannya. Akhirnya, dia mencari Nikmat Abadi itu. Apabila manusia melepaskan usaha untuk mencari keseronokan dengan memuaskan nafsunya dan mengumpul kekayaan, dan menumpukan tenaganya untuk mencari ketuhanan dalam dirinya sendiri, maka dia dikatakan sedang menjalani kehidupan rohani. Akhirnya, apabila dia mencapai sumber Nikmat Abadi dalam dirinya sendiri, segala keinginan duniawinya terhapus. Dia menyedari Tuhan, menyedari bahawa Tuhan meliputi segala-galanya dan bahawa Tuhan merupakan intipati segala-galanya. Dia menjadi bebas daripada perasaan takut, penderitaan dan kesengsaraan. Hatinya penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan. Dia melihat dirinya sebagai roh yang abadi dan bebas daripada kelahiran dan kematian. Dia tidak lagi menganggapnya dirinya sebagai badan fizikal yang musnah dengan peredaran masa. Inilah yang dikatakan sebagai kebebasan atau Moksha. Inilah matlamat akhir kehidupan manusia. Berbanding kebahagiaan yang diperolehi dengan mencapai Moksha, semua keseronokan dan kebahagiaan lain kelihatan amat remeh. Kitab-kitab suci agama Hindu mengingatkan manusia berulang kali untuk mencapai matlamat akhir ini.

Empat Tahap Hidup

Dalam zaman silam, masyarakat Aryan membahagikan kehidupan individu kepada empat tahap iaitu Brahmacharya (tahap pelajar), Garhasthya (tahap berumah tangga), Vanaprasthya (tahap persaraan), dan Sannyasa (tahap rahib atau pertapa).

Brahmacharya

  • Ini ialah tahap pertama kehidupan seorang Hindu. Seorang budak lelaki berumur antara tujuh hingga sebelas tahun akan dihantar untuk tinggal di asrama seorang guru. Selama lebih kurang dua belas tahun, sehingga tamat persekolahannya, seorang budak dikehendaki menjalani kehidupan suci, brahmacharya sepenuhnya dan membina akhlaknya di samping mendapatkan pendidikan formal. Keutamaan diberikan kepada perkembangan keperibadian seseorang.
  • Tugas seorang guru bukan sahaja untuk mendidik pelajar-pelajarnya tetapi untuk menjadi teladan. Guru bukan sahaja memberikan pendidikan sekular tetapi membimbing dalam hal-hal kerohanian. Selain mempelajari Veda dan kitab-kitab suci, ilmu tatabahasa, puisi, etika, moral, matematil, dan ilmu astronomi diajar. Matlamat semua pendidikan ialah untuk mencapai kebebasan dengan menyedari Tuhan.
  • Perhubungan guru-pelajar dalam kehidupan seorang Hindu adalah amat unik. Seorang guru menganggap pelajarnya seperti anaknya sendiri dan mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang sama. Pelajar (bahasa Sanskrit dikenali sebagai antevasin) juga menganggap rumah gurunya sebagai rumahnya sendiri dan membantu gurunya dengan kerja rumah. Guru tidak akan menerima yuran atau gaji daripada pelajarnya. Sebarang bayaran untuk pengajaran, sama ada ilmu sekular atau ilmu rohani adalah bertentangan dengan budaya Aryan. Guru, biasanya seorang lelaki yang berkeluarga, menjalani kehidupan yang sederhana, tanpa sebarang kemewahan. Keperluan hariannya yang sederhana diuruskan dengan pemberian hadiah daripada raja. Pelajar-pelajar tidak akan membebankan guru mereka. Setiap hari, mereka akan mengemis makanan dari rumah-rumah jiran. Pakaian mereka ialah kulit rusa atau kulit kayu yang diproses. Lembu-lembu yang dipelihara oleh guru mereka membekalkan bekalan susu harian.
  • Seorang pelajar yang menamatkan pelajarannya dipanggil sebagai ‘Snataka’ (bermaksud seorang ‘yang telah bermandi’). Perkataan ini menandakan bahawa seorang pelajar telah berjaya bermandi dalam sungai ilmu. Selepas menamatkan pendidikan mereka, pelajar akan memberikan hadiah kepada guru sebagai tanda penghargaan dan penghormatan. Kemudian pelajar pulang ke rumahnya, berkahwin dan memasuki tahap kedua kehidupan seorang Aryan.
  • Pada zaman Veda, kanak-kanak perempuan juga tinggal di rumah guru mereka dan mendapatkan pendidikan sama seperti budak lelaki. Apabila masyarakat menjadi lebih ketat, kanak-kanak perempuan dididik di rumah mereka sendiri. Tradisi mengemis makanan diamalkan di kawasan rumah mereka sendiri. Kanak-kanak perempuan dilarang memakai kulit rusa, kulit pokok atau menyimpan rambut yang kusut.
  • Namun, sekitar kurun ke-5 S.M. terdapat ramai wanita-wanita yang berpendidikan yang disanjung sebagai guru. Mereka menikmati taraf dan status yang sama seperti guru-guru lelaki. Antara sarjana-sarjana wanita yang terkenal pada zaman Veda ialah Gargi (anak Vachaknu) dan Pathyasvati yang diberikan gelaran ‘Vach’ (bermaksud ‘Dewi Ilmu’). Pada awal zaman Veda juga terdapat ramai Rishi-rishi wanita seperti Vishvavara, Ghosha, dan Apala. Gadis-gadis dalam zaman Veda juga belajar bernyanyi, menari, memainkan instrument muzik, mewarna, melukis, menjahit, menulis puisi, mengikat kalung bunga, dan pelbagai seni lain.

Garhasthya

  • Tahap kedua ini bermula dengan perkahwinan. Selepas menyempurnakan pendidikannya, seorang lelaki, dengan kebenaran ibu bapanya, berkahwin dengan seorang gadis dari kastanya sendiri tetapi dari Gotra lain. Selepas berkahwin, dia perlu menjalani kehidupan berkeluarga menurut hukum-hukum agama.
  • Antara lain, seorang yang berumahtangga harus melakukan pemujaan harian bernama agnihotra (suatu upacara ritual yang menggunakan api sebagai simbol Tuhan), sering membaca Veda, mencari rezeki yang halal, membuat kebajikan kepada orang miskin, membesarkan anak, menghormati orang-orang tua dan menjaga ibubapanya.
  • Menurut Manu, seorang lelaki yang berumahtangga mempunyai kewajipan untuk menghormati, menghargai dan membahagiakan golongan wanita. “Di mana wanita hidup menderita, keluarga itu akan musnah; dan di mana wanita hidup bahagia, keluarga itu akan maju.” (Manu).
  • Isteri dipanggil sebagai ardhangini (secara literal bermaksud ‘separuh badan’). Suami isteri dianggap sebagai dua bahagian kepada satu perkahwinan yang ideal. Isteri juga dipanggil sebagai sahadharmini yang bermaksud “pekongsi dalam kehidupan rohani”. Suami isteri harus bekerjasama untuk mencapai perkembangan kerohanian. Seorang individu dalam masyarakat Aryan diingatkan tentang matlamat akhir hidup – iaitu kesedaran Tuhan – pada setiap tahap hidupnya.
  • Golongan lelaki dibenarkan untuk mengamalkan poligami. Seorang lelaki dibenarkan untuk berkahwin semula selepas kematian isterinya. Sebaliknya, seorang wanitadikehendaki menjalani kehidupan brahmacharya dan hidup seperti seorang rahib selepas kematian suaminya. Keadaan ini mungkin disebabkan kerana masyarakat pada masa itu dikuasai oleh golongan lelaki. Namun, pada awal zaman Veda, seorang gadis dara juga dibenarkan untuk berkahwin semula selepas kematian suami. Masyarakat Aryan juga tidak membenarkan perceraian kerana perkahwinan dianggap sebagai sesuatu yang suci dan harus berterusan selama-lamanya.

Vanaprasthya

  • Menurut Manu, apabila kulit seseorang berkedut dan rambutnya rabun, sudah tiba masanya untuk dia memasuki tahap ketiga kehidupan sebagai vanaprasthya. Dia dikehendaki untuk bersara dan bertolak ke hutan, sama ada diiringi oleh isterinya atau meninggalkan isterinya dalam jagaan anak lelakinya. Di hutan, dia dikehendaki untuk tinggal dalam sebuah pondok kecil, memakai kulit pokok, kulit haiwan, atau pakaian lama; mengaji Veda, dan menjalankan upacara ritual. Dia dikehendaki memakan hanya sayur-sayuran, buah-buahan dan akar-akar yang mentah atau dimasak. Dia menyimpan janggut panjang, tidak memotong rambut dan kukunya. Secara ringkas, dia dikehendaki hidup sederhana dan menjalani disiplin kerohanian. Tahap ketiga ini sesungguhnya ialah suatu persediaan untuk tahap keempat kehidupan Aryan sebagai seorang rahib atau pertapa.
  • Dengan peredaran masa, masyarakat Aryan telah meninggalkan tradisi vanaprasthya. Namun, apabila seseorang memasuki usia tua, keinginan untuk menjalani kehidupan tenang, jauh dari keluarga dan masyarakat, masih mendorong mereka untuk bersara. Masih ramai golongan wanita dan lelaki yang berusia mencari teduhan di tempat-tempat suci seperti Varanasi dan Puri. Mereka menjalani kehidupan yang sederhana dengan berdoa dan bersembahyang sehingga ke akhir hayat mereka.

Sannyasa

  • Tahap keempat ini ialah suatu peralihan semula jadi dari tahap vanaprasthya. Menurut Baudhayana, seorang penggubal undang-undang India purba, sesiapa sahaja daripada kategori-kategori berikut layak untuk memasuki tahap terakhir ini:
  1. Seorang pelajar yang baru menamatkan pendidikannya dan ingin melepaskan dunia
  2. Seorang yang tiada zuriat
  3. Seorang duda
  4. Seorang perantau
  5. Seorang pertapa
  6. Sesiapa yang berumur tujuh puluh tahun ke atas dan anak-anaknya telah berumah tangga
  • Seorang rahib sering membotakkan kepalanya, memotong kukunya, dan mengemis untuk makanannya. Dia tidur di bawah pokok, dalam kuil, atau rumah yang terbiar. Dia sentiasa merantau dari tempat ke tempat, dengan sebatang tongkat, sebuah mangkuk, dan kendi air. Dia tidak akan memakai pakaian putih seperti seorang yang berkeluarga. Dia tidak akan tinggal di sesuatu tempat lebih daripada tiga hari. Dia dikecualikan daripada melakukan upacara agnihotra dan lain-lain ritual wajib. Namun, seorang rahib dikehendaki untuk sentiasa mengaji Veda.
  • Seorang rahib menganggap seluruh dunia sebagai keluarganya. Maka, dia memutuskan segala perhubungan dengan keluarganya. Dia mengambil ikrar ketidakganasan, bercakap benar, tidak mencuri, mengawal nafsu dan bertoleransi. Dia mengikuti perintah guru rohaninya, tidak marah, tidak terburu-buru dalam tindakan dan pemikiran, mengamalkan kebersihan dan kesucian makanan. Dia dikehendaki untuk memikirkan dirinya sebagai Atman atau roh yang suci dan bukannya sebagai badan. Matlamat hidupnya ialah untuk menyedari Tuhan.
  • Golongan rahib Hindu moden masih mengikuti ideal purba kehidupan Sannyasa ini. Namun, institusi kerahiban yang teratur, mula-mula diperkenalkan oleh Gautama Buddha lebih kurang 2500 tahun dahulu.
  • Sri Sankaracharya, seorang wali dan ahli falsafah Hindu kurun ke-8 telah menubuhkan satu institusi kerahiban yang dikenali sebagai Daśanāmī-Sampradāya. Institusi ini bukan sesuatu yang sistematik dan ketat seperti biara-biara Buddha. Namun, Daśanāmī-Sampradāya telah memainkan peranan yang amat penting dalam Hinduisme. Mengikuti tradisi Hindu purba, institusi ini masih mengutamakan perkembangan rohani individu di samping pembelajaran dan pengajaran kitab-kitab suci.
  • Dalam zaman moden, Swami Vivekananda telah menubuhkan Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission. Rahib-rahib Ramakrishna menjalankan pelbagai kegiatan kemanusiaan dan kebajikan sosial di samping menjalani disiplin rohani. Meskipun pertubuhan ini suatu organisasi yang bebas, ia berasal daripada tradisi Puri, suatu cawangan Daśanāmī-Sampradāya yang ditubuhkan oleh Sri Sankaracharya.

Sistem Varna

Sistem Varna sering dikaitkan dengan kasta. Perkataan kasta tidak wujud dalam mana-mana kitab Hindu. Missionari barat mengaitkan perkataan kasta dengan agama Hindu. Masyarakat Hindu dibahagikan kepada empat Varna - Brahmin, Kshatriya, Vaishya dan Shudra. Pada asalnya, sistem varna berdasarkan kepada sifat-sifat tahap minda atau ‘potensi pekerjaan’ individu seperti berikut:

Brahmin

Seseorang yang mempunyai sifat-sifat mulia seperti kebenaran, fikiran yang tenang, mengamalkan ketidakganasan, simpati, dan tidak mementingkan diri sendiri menjadi seorang Brahmin atau kasta sami. Oleh kerana sifat-sifat rohani dan moralnya yang tinggi, seorang Brahmin dianggap layak untuk menjadi seorang guru dan pembimbing masyarakat dalam hal-hal keagamaan dan kerohanian.

Kshatriya

Individu yang penuh dengan sifat-sifat dan semangat kepahlawanan pula dianggap layak untuk menjadi Kshatriya atau kasta tentera. Golongan diraja, bangsawan dan para pentadbir biasanya berasal daripada varna ini.

Vaishya

Orang-orang yang mempunyai kemahiran berniaga dan berdagang pula tergolong dalam kasta pedagang atau Vaishya.

Shudra

Orang-orang lain pula tergolong dalam varna Shudra. Kumpulan ini termasuk golongan petani, pekerja mahir dan buruh kasar. Sesetengah sejarahwan percaya bahawa pada asalnya, golongan Shudra berasal daripada luar kelompok Aryan, tetapi kemudiannya diserap masuk ke dalam masyarakat Aryan.

  • Sistem varna tidak diikuti oleh golongan rahib atau Sannyasin. Peraturan-peraturan masyarakat umumnya tidak mengikat golongan Sannyasin. Namun, semua golongan menghormati Sannyasin.
  • Sesiapa yang mengingkari dharma Hindu terutamanya peraturan mengenai pemakanan, perkahwinan dan sebagainya, biasanya dianggap sebagai orang yang dibuang varna atau dikenali avarna (parya atau dalit).Kumpulan avarna seperti parya atau dalit ini sama maksud dengan bukan Hindu. Menurut Manu, penggubal undang-undang Hindu yang terkenal, “Seseorang daripada tiga varna atasan iaitu Brahmin, Kshatriya dan Vaishya yang dengan sengaja memakan cendawan, daging lembu, bawang putih, ayam, bawang merah, atau bawang perai, akan dibuang kasta.”
  • Seseorang yang dibuang varna tidak akan mendapat status yang sama dengan orang-orang yang berkasta. Mereka diberikan status yang paling rendah dalam masyarakat Aryan. Namun, tiada sebarang bukti bahawa pada mulanya golongan ini ditindas. Hanya apabila sistem varna mengalami kemerosotan, golongan ini mula dipandang hina dan diberikan nama “orang yang tidak boleh disentuh”.

Kemerosotan Sistem Varna

  • Pada mulanya, semua varna diberikan kepentingan yang sama. Dengan peredaran masa, sistem kasta mula dicemari dengan kepentingan diri. Varna seseorang mula ditentukan secara keturunan dan bukan lagi mengikut kualiti atau kecenderungan individu. Ini dilakukan oleh golongan tertentu yang ingin mengekalkan kedudukan dan keutamaan mereka dalam strata sosial. Akibatnya, sistem varna merosot menjadi  sumpah masyarakat Hindu. Masyarakat mula dipisahkan dengan status ‘tinggi’ dan ‘rendah’. Golongan Shudra dan yang dibuang kasta mula ditindas dan dinafikan hak untuk membaca kitab suci Veda, dan semua pendidikan tinggi. Ketidaksamaan dalam masyarakat akhirnya mencetuskan kecemburuan, kebencian dan persengketaan antara varna. Perubahan ini banyak berlaku semasa pencerobohan orang Arab dan pemerintahan Mughal.

Kesan Kedatangan Kuasa-Kuasa Asing terhadap Sistem Varna

Dengan peredaran waktu, masyarakat Aryan mengalami banyak perubahan. Bermula dengan tahun 327 S.M., secara berulang kali, India dicerobohi oleh kuasa-kuasa asing termasuk Yunani, Hun, Arab, Turki, Afghan, Persia, Mongol, Portugis, Peranchis dan akhirnya Inggeris.

Bermula dari kurun ke-13, sebahagian besar benua India dijajah oleh pemerintah-pemerintah Muslim selama hampir 600 tahun. Pada akhir kurun ke-18, Inggeris mengambil alih kuasa dan menjajah seluruh benua India sehingga India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947.

Penaaklukan dan penjajahan berterusan ini telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap masyarakat Hindu. Akibatnya, masyakarat berubah, dan dengan ini sistem kasta turut berubah. Pada masa pemerintahan Muslim di India, sistem Varna telah terjejas sepenuhnya. Jumlah golongan Avarna yang terbuang yang hanya kurang daripada 1% melonjak mendadak kepada 14%. Golongan ini kebanyakan akibat daripada penjajahan Islam. Mereka terpaksa menukar agama demi melepaskan diri daripada penindasan lanjut Islam yang mengenakan Jizyah dan lain-lain. Golongan Ksatriya dan Vaisha telah terhapus semasa penjajahan Islam. Manakala segelintir golongan Brahmin kekal dengan membayar jizyah, manakala majoriti jatuh menjadi kumpulan Shudra akibat penindasan penjajah.Pada masa penjajahan Portugis perkataan Kasta dikaitkan dengan Varna demi menghina agama Hindu. Langkah ini dapat memberi ruang untuk pertukaran agama kepada Kristian. Pihak misionari menggunakan peluang daripada kumpulan Avarna ini untuk tujuan menyebarkan agama.Pada zaman penjajahan Inggeris, golongan Brahmin mendapat peluang untuk mendapat pendidikan Inggeris. Dengan meninggalkan pekerjaan tradisional mereka sebagai sami dan pengajar, ramai orang Brahmin menjadi doktor perubatan, jurutera, peniaga, penjawat awam, dan peguam. Malah, ada juga golongan Brahmin yang memasuki perkhidmatan pertahanan. Golongan kasta atasan lain seperti Kshatriya dan Vaishya turut merebut peluang untuk mendapat pendidkan Inggeris dan menikmati peluang yang sama. Namun, nasib masyarakat bawahan dan miskin kekal atau semakin bertambah buruk.

Dengan peredaran zaman, sistem varna telah hilang ciri-ciri asalnya. Sebaliknya, sistem kasta idea barat telah meresapi penduduk, menjadi satu anggapan salah tentang kedudukan kasta tinggi dan kasta rendah masih berleluasa. Ramai wali-wali Hindu mula mencemuh sistem kasta yang telah disalah tafsir dan dikait dengan agama Hindu dan enggan untuk mengikutinya. Sri Ramanuja, Sri Krishna Caitanya dan Sri Ramakrishna mengajar pengikut-pengikut mereka bahawa orang-orang yang beriman dan menyintai Tuhan tidak ada sebarang kasta.

Toleransi Umat Hindu

Agama ini mempunyai ciri khas sebagai salah satu agama yang paling bertoleransi. Salah satu ayat suci dalam kitab Rig Veda ialah "Ekam Sat Vipraaha Bahudhaa Vadanti" yang bermaksu "Hanya ada satu kebenaran tetapi orang-orang bijaksana menyebut-Nya dengan banyak nama."

Dalam pelbagai kitab suci Hindu, terdapat banyak ayat-ayat suci yang mencerminkan sifat toleransi dan keadilan Tuhan. Umat ​​Hindu menghormati kebenaran tanpa mengenang asal-usulnya dan menganggap bahawa semua agama bertujuan sama, iaitu mencapai Tuhan, namun dengan pelbagai sudut pandang dan cara pelaksanaan yang berbeza. Hal itu dinyatakan dalam kitab suci Hindu misalnya:

samo ‘haṁ sarva-bhūteṣu na me dveṣyo ‘sti na priyah | ye bhajanti tu māṁ bhaktyā mayi te teṣu cāpy aham

"Aku tidak pernah iri dan selalu bersikap adil terhadap semua makhluk. Bagi-Ku tidak ada yang paling Ku-benci dan tidak ada yang paling Ku-kasihi. Namun yang berbakti kepada-Ku, dia berada pada-Ku dan Aku bersamanya." - (Bhagavad Gita, IX:29)

Malah dengan mengkaji sejarah India purba juga beberapa fakta yang menakjubkan boleh didapati. Golongan pemerintah membantu perkembangan semua agama dan mazhab tanpa diskriminasi. Contohnya di negeri Karnataka, raja-raja Sātāvahana (tiga kurun awal Masihi) merupakan penganut-penganut Saiva, tetapi mereka membina banyak kuil-kuil Buddha (seperti kuil Tārā Bhagavati di Balligāme). Pemerintah-pemerintah Kadamba memuja Siva tetapi ibu negeri mereka, Banavāsi menjadi pusat agama Buddha. Kākutstha Varma (425-445 Masihi) memberikan tanah kepada rahib Jaina bernama Sruta-kirti.

Makanan

  • Makanan atau 'Anna' dan 'Āhāra' dalam bahasa Sanskrit merupakan sebuah topik yang popular dalam kitab-kitab suci agama Hindu. Upanishad sering kali menggunakan perkataan 'Anna' untuk merujuk kepada makanan dan juga apa-apa sahaja yang dinikmati atau dialami. Secara umumnya, semua jirim juga dirujuk sebagai 'Anna'. Dalam proses ciptaan, 'Anna' ialah penjelmaan Atman yang paling rendah.
  • Makanan bukan sahaja memberi khasiat kepada badan tetapi juga untuk minda. Maka, kebersihan dan kesucian makanan diutamakan dalam semua kitab-kitab suci Hindu.
  • Menurut kitab-kitab suci Hindu, terdapat hubungan yang rapat antara badan dan minda. Sebenarnya minda ialah sebuah peti simpanan semua hasil karma seseorang. Karma yang menentukan badan dan masa depan seseoang dalam kelahiran semulanya. Apabila seseorang mati, cuma badannya yang musnah tetapi mindanya akan berpindah bersama-sama rohnya ke badan lain. Maka, minda memainkan peranan penting dalam menentukan badan yang seseorang perolehi dalam kelahiran semulanya. Dalam konteks ini juga, makanan memainkan peranannya. Kualiti makanan menentukan kualiti pemikiran dan minda seseorang.
  • Menurut Chādogya Upanishad (7.26.2) kesucian makanan menentukan kesucian minda. Kesucian minda menghasilkan memori yang kuat untuk mengingati semua yang didengar dan dipelajari. Ini seterusnya membantu seseorang untuk mendapatkan ilmu untuk melepaskan dirinya daripada segala ikatan duniawi. Secara ringkas, makanan menguatkan badan dan minda.
  • Menurut Dharmasastra, perbuatan memakan juga ialah suatu amalan agama dan beberapa hukum pemakanan diberikan.
  • Menurut Manu, penggubal undang-undang Hindu yang terkenal, “Seseorang daripada tiga kasta atasan iaitu Brahmin, Kshatriya dan Vaishya yang dengan sengaja memakan cendawan, daging lembu, bawang putih, ayam, bawang merah, atau bawang perai, akan dibuang kasta.”
  • Oleh kerana makanan disanjung tinggi oleh Hinduisme, terdapat beberapa mantera untuk persembahan ritual makanan dan juga mantera untuk disebut sebelum makan.
  • Anna Sūkta ('Mantera untuk makanan') dalam Ṛgveda Samhitā (1.187.1-11) ialah sebuah mantera yang harus dibacakan untuk menyucikan makanan. Menurut rishi Śaunaka (dalam Ṛgvidhāna 1-27), Anna Sūkta harus dibaca setiap hari sebelum makan. Bacaan mantera ini akan menyucikan makanan, menghapuskan sebarang kekotoran dalam makanan, dan memastikan makanan itu berkhasiat.
  • Annapūrṇā ialah dewi untuk makanan dan suatu aspek Śakti. Annapūrṇā mengawal makanan dan memberikan makanan kepada dunia. Biasanya, Annapūrṇā digambarkan sebagai dewi bertangan empat. Menurut tradisi, Annapūrṇā telah memberikan makanan kepada Śiva ketika Śiva sedang merayau sebagai seorang fakir. Dengan memuja dewi ini, seseorang tidak akan mengalami kebuluran, Kuil Annapūrṇā yang popular terletak di Kāsī (Varanasi. Benaras moden di Uttar Pradesh). Perayaan Annapūrṇā biasanya diraikan dalam bulan Caitra (April), terutamanya di Bengal, India.
  • Makanan dikelaskan kepada tiga kumpulan: Sāttvika, rājasika dan tāmasika (Bhagavad Gita 17.7-10). Makanan sāttvika memberikan umur yang panjang, badan yang sihat dan kuat serta kegembiraan. Makanan rājasika menghasilkan nafsu yang membawa kepada penderitaan dan kesengsaraan. Makanan tāmasika pula menyebabkan kelesuan, kemalasan, dan mengantuk. Senarai panjang tiga kumpulan makanan ini juga diberikan oleh kitab-kitab suci. Selain itu, peraturan tentang kuantiti makanan, teman, masa dan tempat untuk makan juga ditetapkan.
  • Pemakanan yang sederhana digalakkan. Sebelum melakukan disiplin kerohanian, seseorang tidak harus makan. Gerhana bulan dan gerhana matahari dipercayai mempunyai kesan buruk terdapat makanan. Oleh itu, seseorang tidak harus makan ketika gerhana.
  • Seseorang juga tidak harus makan di kuil, tempat awam, dan kenderaan bergerak.
  • Makanan menjadi tercemar dalam tiga keadaan: jātidoṣa, nimittadoṣa dan āśrayadoṣa. Bawang putih dan kobis, misalnya ialah makanan yang tercemar secara spesis (jāti), dan oleh itu mesti dielakkan. Nimittadoṣa berlaku disebabkan kekotoran luar seperti habuk atau rambut. Ini boleh dielakkan dengan menjaga kebersihan dan sanitasi yang baik. Makanan yang disentuh, dimasak, atau dikendalikan oleh orang jahat atau kurang bermoral dikatakan tercemar dengan arus negatif dan jahat mereka. Kekotoran jenis ini dinamakan sebagai āśrayadoṣa. Makanan ini boleh disucikan dengan mempersembahkannya kepada Tuhan terlebih dahulu sebelum makan.
  • Menurut Bhagavad Gita, seseorang perlu mengambil makanan yang banyak airnya, berzat, selamat dimakan, dan menyenangkan demi kesihatan fizikal dan kepentingan rohaninya. Makanan yang terlampau pahit, terlalu masam, terlampau masin, terlalu panas, amat pedas, kering dan mendidih harus dielakkan. Makanan yang telah basi, tanpa rasa, busuk, dan tidak bersih harus dielakkan.
  • Kitab-kitab mazhab Vaishnava dan Shaiva menyarankan makanan sayur-sayuran yang sepenuhnya untuk pengikut-pengikutnya. Pengikut-pengikut mazhab Shakta pula dibenarkan oleh kitab-kitab suci untuk memakan daging, ikan, dan arak yang telah dipersembahkan kepada Dewi. Akibatnya, masyarakat Hindu mempunyai pandangan yang negatif - malah membenci - terhadap orang Hindu yang memakan daging. Golongan wali, sebaliknya, tidak mengalakkan pandangan negatif ini. Swami Vivekananda berkata, "Di India, agama telah masuk ke dalam periuk." Sri Ramakrishna Paramahamsa pula berkata, "Jika seseorang yang memakan daging khinzir berfikir berterusan tentang Tuhan, maka dia lebih mulia daripada seseorang yang memakan makanan vegetarian dan masih berfikir tentang benda-benda duniawi setiap masa."
  • Meera Bai, seorang wali wanita India yang hidup dalam kurun ke-16 berkata:
Kalau seseorang boleh melihat Tuhan dengan memakan buah-buahan dan akar-akar,

kenapa kelawar dan monyet belum pernah melihat-Nya?

Kalau seseorang boleh mengenali Tuhan dengan mandi dalam sungai suci,

kenapa ikan-ikan belum pernah mengenali-Nya?

Kalau seseorang boleh melihat Tuhan dengan melepaskan isterinya,

kenapa sida-sida belum pernah melihat-Nya?

Tanpa cinta kepada Tuhan, kata Meera,

Sesiapa pun tidak boleh melihat-Nya.

  • Maka, menurut wali-wali agama Hindu, pemakanan yang baik, meskipun membantu kehidupan rohani, itu bukanlah satu-satunya kriteria penting untuk memupuk cinta suci kepada Tuhan.

Daging

  • Sejak zaman Veda, kepentingan utama telah diberikan kepada pemakanan orang Indo-Aryan. Bukan semua makanan adalah baik untuk perkembangan fizikal dan rohani manusia. Manu, seorang penggubal undang-undang purba telah memberikan dengan terperinci tentang makanan yang dibenarkan dan diharamkan.[25] Nenek moyang orang Hindu pada zaman Hindu dibenarkan untuk memakan beberapa jenis daging. Namun, Manu menyarankan dan menggalakkan pemakanan vegetarian atas dasar tanpa kekerasan. Menurut Manu, "Tidak ada dosa dalam memakan daging... tetapi banyak kebaikannya jika mengelakkan daging."[26] Namun, semua makanan, termasuk daging, mesti dipersembahkan kepada Tuhan sebelum makan.
  • Satu persoalan yang sering wujud ialah sama ada masyarakat zaman Veda memakan daging lembu. Tiada bukti untuk mempercayai bahawa masyarakat zaman Veda memakan daging lembu. Lembu tenusu tidak pernah disembelih. Seekor lembu tenusu dikenali sebagai aghnyā, yang bermaksud "sesuatu yang tidak harus dibunuh." Mengikut Garuda Purana, menendang seekor lembu merupakan dosa besar, malahan boleh menyebabkan dosa sesorang akan lahir cacat dalam kelahiran seterusnya, apa lagi mereka yang memakannya. Lembu merupakan haiwan kesukaan Tuhan Shiva, maka menyembelih atau memakan atau menyiksa lembu merupakan dosa besar. Sekumpulan penulis yang anti Hindu, cuba membuktikan bahawa masyarakat Hindu Veda pernah memakan daging lembu, ini ialah percubaan untuk menjustifikasikan sistem pemakanan agama mereka. Contohnya, menurut penulis ini, 'Hanya lembu jantan, anak lembu dan lembu mandul yang disembelih untuk dagingnya'.[27]. Pada hakikatnya, memakan daging lembu merupakan kesalahan besar sehingga seseorang itu di buang daripada sistem varna jatuh menjadi avarna (parya).
  • Mengapa masyarakat Hindu kini tidak memakan daging lembu? Beberapa cendikiawan berpendapat bahawa ini mungkin disebabkan oleh pengaruh agama Jain. Masyarakat Hindu kebanyakannya tinggal di luar bandar. Di hampir setiap rumah orang Hindu terdapat sekurang-kurangnya seekor lembu tenusu. Lembu tenusu di India adalah amat jinak. Kanak-kanak membesar dengan meminum susu lembu dan memelihara lembu sebagai binatang peliharaan, sama seperti anjing atau kucing peliharaan dalam masyarakat lain. Selain pantang-larang memakan daging lembu, ini juga salah satu sebab mengapa orang Hindu tidak dapat berfikir untuk menyembelih lembu dan memakan dagingnya. Selain itu, orang Hindu juga sering mengelakkan daripada membunuh semua haiwan betina.
  • Adakah lembu seekor binatang suci? Segelintir orang barat berpendapat bahawa orang Hindu tidak memakan daging lembu kerana menganggapnya sebagai binatang suci. Menurut agama Hindu, Tuhan wujud dalam segala-galanya. Meskipun Tuhan wujud dalam segala-galanya, manifestasinya tidak sama dalam semua benda. Manifestasi Tuhan dalam seorang wali atau Jelmaan Tuhan adalah lebih kuat. Manifestasi Tuhan adalah kurang dalam manusia biasa, dan tidak ketara dalam binatang, tumbuh-tumbuhan dan hidupan lain. Manifestasi Tuhan paling kurang dalam benda-benda bukan hidup seperti batu-batan. Maka, Tuhan sesungguhnya wujud dalam lembu juga. Jika tidak, ini akan bertentangan dengan idea bahawa Tuhan ialah Maha Wujud. Jika Tuhan Maha Suci, maka segala-galanya juga suci.